Sekapur Sirih

  • Shakila Yacob

Abstract

SEKAPUR SIRIH


 


Jurnal Peradaban merupakan terbitan tahunan yang berwasit oleh Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, yang menyiarkan makalah berfokus kepada dimensi peradaban. Jurnal ini menyediakan ruang kepada penulis untuk berdialog mengenai pelbagai isu semasa dan bersejarah berlandaskan suatu pengamatan dan penilaian yang kritis.


 


Jurnal berwasit Jilid 10, 2017 ini telah berjaya menghimpunkan lima  buah makalah yang membicarakan pelbagai isu berkaitan budaya dalam bidang sejarah, konflik dan pendidikan.


 


Mohd Ali Haniffa dalam penulisannya menyentuh konflik perkauman yang berlaku selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Makalah ini menghujahkan dasar pecah dan perintah pihak pemerintah British, polisi polarisasi Jepun dan tindakan Komunis sebagai faktor penyumbang kepada kepada isu perkauman di Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun.


 


Norliah Abdullah pula menghuraikan kemunculan pusat pemerintahan kesultanan Melayu Johor yang berjaya membina penempatan di sepanjang Sungai Johor. Penulisan terdahulu kurang memberi penekanan tentang asal usul penempatan awal orang Melayu hasil perkembangan pusat pemerintahan kesultanan Melayu Johor. Hasil kajian menunjukkan wujudnya beberapa bukti mengenai kegiatan perdagangan antarabangsa di pusat pemerintahan ini. Sungguhpun pusat pemerintahan kerajaan Melayu Johor sering berpindah lokasi namun kawasan penempatan orang Melayu terus kekal.


 


Jamaluddin Mohd. Ali, Azizan Haji Baharuddin dan Wan Zailan Kamaruddin Wan Ali membahaskan faktor yang mempengaruhi pertimbangan moral dalam sastera Barat. Penolakan secara total kepada tauhid dalam usaha memahami tabii manusia telah membawa kepada perbahasan yang berterusan tentang pertimbangan moral di Barat. Penulis menyarankan agar konsep al-fitrah dimasukkan dalam perbahasan epistemologi dan pertimbangan moral ini bagai mencari jalan penyelesaian yang bermanfaat.


 


Masturah Abu Bakar, Mohd Zaidi Abdul Rahman dan Rafidah Hanim Mokhtar dalam makalahnya bertajuk ‘Perdebatan Teori Sarian dan Binaan Sosial tentang Keliwatan: Suatu Penilaian Menurut Islam’ telah menghuraikan dua teori utama iaitu sarian dan binaan sosial berhubung kecitaliwatan. Penilaian telah dilakukan ke atas kedua-dua teori dengan merujuk kepada ayat-ayat Al-Quran. Hujah penulis berlandaskan perspektif Islam menunjukkan kecitaliwatan wujud akibat daripada binaan sosial.


 


Sohaimi Zakaria, Norzahira Ramli dan Nurul Syafiqah Nor Azmi menyelami pengalaman Puan Maszni Abdul Aziz dalam mewarisi pengetahuan dan kemahiran seni kasut manik Baba dan Nyonya.  Kaedah sejarah lisan telah digunakan untuk meneroka pengalaman dan kemahiran Puan Maszni dalam menghasilkan kasut manik yang unik yang telah diklasifikasikan sebagai Warisan Tidak Ketara di bawah kategori Seni Halus oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia.


Semoga makalah yang diterbitkan dalam Jurnal Peradaban kali ini berjaya menimbulkan wacana intelek dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan para sarjana tempatan, penyelidik, guru-guru dan masyarakat umum.


 


Profesor Dr Shakila Yacob


Ketua Penyunting


Pengarah, Pusat Dialog Peradaban


 


NOV 2017

Downloads

Download data is not yet available.
Published
2017-12-28
How to Cite
YACOB, Shakila. Sekapur Sirih. Jurnal Peradaban, [S.l.], v. 10, dec. 2017. ISSN 2636-9257. Available at: <https://ejournal.um.edu.my/index.php/ADAB/article/view/10163>. Date accessed: 26 feb. 2020.
Section
SEKAPUR SIRIH