APLIKASI GIS DALAM ANALISIS RUANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN PRASEKOLAH KERAJAAN DAN TADIKA SWASTA DI KUCHING SARAWAK

Authors

  • Shabariah Sepik @ Sipik Universiti Malaya
  • Norita Jubit Universiti Malaya
  • Danggat Chabo Universiti Malaya
  • Tarmiji Masron Universiti Malaya

Keywords:

Analisis Ruangan, Global Moran’s I, Getis Ord Gi*, Prasekolah, Tadika, Kuching

Abstract

Kebanyakan ibu bapa pada masa kini cenderung menghantar anak-anak untuk mendapat pendidikan di prasekolah kerajaan dan tadika swasta. Objektif kajian ini mengenal pasti taburan ruangan dan kawasan tumpuan institusi pendidikan prasekolah dan tadika di Kuching Sarawak. Analisis Global Moran’s I digunakan untuk mengenal pasti taburan ruangan manakala Getis Ord Gi* bertujuan mengenal pasti kawasan tumpuan taburan ruangan. Data ruangan terdiri daripada sempadan daerah Kuching, sempadan zon pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Perbandaran Kuching Selatan serta data lokasi (x, y) prasekolah dan tadika di Kuching. Data bukan ruangan termasuklah alamat institusi pendidikan prasekolah awam dan tadika swasta di Kuching. Penemuan menunjukkan institusi pendidikan prasekolah dan tadika di Kuching adalah bercorak kelompok. Kadar pengelompokan institusi pendidikan prasekolah awam dan tadika swasta adalah sangat tinggi dengan nilai z skor melebihi 2.58 dan nilai p<0.01 dengan paras keyakinan pengelompokan iaitu 99%. Hasil analisis Getis Ord Gi* menunjukkan sempadan DBKU iaitu kawasan Damai (N2) mempunyai kadar pengelompokan institusi pendidikan prasekolah kerajaan dengan paras keyakinan tertinggi iaitu 95%. Zon 1 di bawah pentadbiran sempadan MBKS mempunyai kadar pengelompokan institusi pendidikan tadika swasta tertinggi dengan paras keyakinan 95%. Kajian ini dapat membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia memahami corak ruangan dan kawasan pengelompokan taburan penubuhan institusi pendidikan prasekolah dan tadika di Kuching, Sarawak.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2022-06-30