SURAT HANG TUAH KEPADA RAJA RYUKYU: KEBIJAKSANAAN ILMU DIPLOMASI MELAYU TRADISIONAL

Main Article Content

Hashim Musa
Rozita Che Rodi
Salmah Jan Noor Muhammad

Abstract

Dalam hubungan diplomasi kerajaan Melayu tradisional, surat dijadikan sebagai antara mekanisme utama dalam menyampaikan mesej diplomasi kepada kerajaan lain. Antara surat yang sarat dengan ilmu diplomasi Melayu ialah perutusan surat antara kerajaan Kesultanan Melaka dengan kerajaan Ryukyu dalam abad ke-15 Masihi yang tercatat dalam Rekidai HÅan, catatan rasmi Kerajaan Ryukyu. Namun, terdapat persoalan berkenaan kaedah penggunaan bahasa dan tatacara orang Melayu dalam menjalinkan hubungan diplomatik menerusi surat Melayu ini. Oleh itu, objektif kertas ini adalah untuk mengenal pasti kebijaksanaan orang Melayu dalam ilmu hubungan diplomatik dari elemen bahasa yang digunakan dalam perutusan surat kepada kerajaan luar dan menganalisis penggunaan bingkisan hadiah dalam memperkukuhkan sesebuah hubungan diplomatik. Kertas kerja ini akan berfokus kepada kaedah kepustakaan dengan melakukan analisis teks ke atas surat Hang Tuah kepada Raja Ryukyu, terutamanya dari aspek bahasa yang mencerminkan kebijaksanaan orang Melayu dalam membentuk, menyusun dan mengukuhkan hubungan diplomasi kerajaan Melaka. Turut dibincangkan juga tentang bingkisan hadiah yang mempunyai makna pemberian dari sudut diplomatik, iaitu sebagai salah satu adat dan budaya dalam masyarakat Melayu apabila mengutus surat kepada kerajaan lain. Hasil dapatan menunjukkan bahawa terdapat beberapa unsur diplomasi berdasarkan bahasa yang telah digunakan. Antaranya, kata pujian sebagai pemula bicara, kata sapaan atau pemberian gelaran di samping pemilihan perkataan yang kaya dengan estetika dan penuh dengan gaya kesopanan yang menjadi inti pati penting keseluruhan isi kandungan surat ini dalam memperkukuhkan hubungan kerajaan Melaka dengan Raja Ryukyu. Selain itu, terdapat sekurang-kurangnya 19 pucuk surat daripada kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka dan 11 surat daripada pihak Melaka kepada kerajaan Ryukyu. Tiga pucuk surat daripada pihak Melaka secara langsung berkaitan dengan Laksamana Hang Tuah dan bertarikh 1480, 1480 dan 1481, yang dengan jelas membuktikan kewujudan Hang Tuah dalam sejarah.


 

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

How to Cite
Musa, H., Che Rodi, R., & Noor Muhammad, S. J. (2018). SURAT HANG TUAH KEPADA RAJA RYUKYU: KEBIJAKSANAAN ILMU DIPLOMASI MELAYU TRADISIONAL. JURNAL MELAYU SEDUNIA, 1(1), 162–190. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/jurnalmelayusedunia/article/view/13388
Section
Articles