Terjemahan Al-Qur’an Bahasa Melayu Penilaian Berasaskan Tafsīr ‘Ilmī

Main Article Content

Ahmad Bazli Ahmad Hilmi
Selamat Amir
Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff
Monika @ Munirah Abd Razzak
Ahmad Farid Ibrahim

Abstract

Antara syarat penterjemahan makna al-Qur’an ialah penterjemahan tersebut dilakukan oleh satu jawatankuasa yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang-bidang tertentu seperti bahasa Arab, bahasa pengantar yang digunakan, tafsir dan bidang-bidang lain seperti sastera, sejarah, geografi, kimia, biologi, perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan seumpamanya kerana al-Qur’an bukan membincangkan persoalan hukum semata-mata malah terkandung di dalamnya elemen pelbagai bidang ilmu. Ayat-ayat al-Qur’an yang dilihat memerlukan penilaian semula dari segi terjemahan maknanya ialah ayat yang berkaitan dengan ciptaan atau lebih dikenali dengan ayat kawniyyat. Ayat kawniyyat ini secara tidak langsung mengandungi elemen sains yang memerlukan kepakaran mereka yang berkecimpung dalam bidang tersebut untuk mengetahui makna yang tepat agar terjemahan yang dilakukan selari dengan penemuan sains moden. Objektif kajian ini adalah untuk menilai semula terjemahan makna ayat kawniyyat berkaitan penciptaan haiwan berpandukan fakta sains moden bagi mengetahui keserasian antara kedua-duanya. Kajian ini dijalankan dengan menganalisis terjemahan makna ayat tersebut menggunakan tafsīr ‘ilmī untuk mengetahui sama ada terjemahan makna ayat tersebut selari dengan fakta sains moden. Terjemahan makna sebenar kepada ayat tersebut kemudiannya dicadangkan. Hasil kajian mendapati terdapat beberapa penambahan nilai dalam terjemahan makna ayat seperti perkataan namlah diterjemahkan dengan makna “seekor semut” di mana cadangan makna lain ialah “seekor semut betina,” perkataan al-‘Ankabut diterjemahkan dengan makna “labah-labah” di mana cadangan makna lain ialah “labah-labah betina” dan perkataan al-Naḥl diterjemahkan dengan makna “lebah” di mana cadangan makna lain ialah “lebah-lebah betina”.

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

How to Cite
Hilmi, A. B. A., Amir, S., Mohd Yusoff, M. Y. @ Z., Abd Razzak, M. @ M., & Ibrahim, A. F. (2014). Terjemahan Al-Qur’an Bahasa Melayu Penilaian Berasaskan Tafsīr ‘Ilmī. Jurnal Usuluddin, 39, 111–134. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/JUD/article/view/7474
Section
Articles