Vol. 1 No. 3 (2016)

Modul merupakan satu set bahan pengajaran yang digunakan untuk membantu tugas para guru dalam proses P&P di sekolah. Di dalam modul terkandung unit-unit pelajaran yang perlu difahami oleh para pelajar bagi menguasai sesuatu subjek pelajaran tertentu. Kekuatan sesuatu modul bergantung kepada keberkesanan yang diperolehi daripada ujian yang dijalankan oleh guru tersebut. Oleh itu, kajian kuantitatif yang akan dijalankan oleh pengkaji bertujuan untuk menguji keberkesanan Modul Penulisan Karangan Bahasa Arab MPKBA yang telah dibangunkan oleh pengkaji melalui kaedah eksperimen. Sampel kajian terdiri daripada 40 orang pelajar tingkatan empat yang dipilih secara rawak. Para pelajar tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan kajian iaitu kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Manakala, instrumen kajian merupakan ujian pencapaian penulisan karangan Bahasa Arab. Skor-skor markah yang diperolehi oleh para pelajar akan diambil dan dianalisis menggunakan System Packages for Social Sciences SPSS versi 20 melalui ujian-t sampel bebas bagi pra ujian dan pasca ujian. Hasil kajian kelak diharap dapat membantu para guru untuk meningkatkan kemahiran pengajaran dalam penulisan karangan bahasa Arab menggunakan Modul Penulisan Karangan Bahasa Arab MPKBA. Dapatan kajian juga diharap dapat membantu para pengkaji lain yang berminat untuk mengkaji bidang penulisan karangan bahasa Arab.

Published: 2017-10-12