TEPAK SIRIH: INTERPRETASI DAN PERSEPSI DALAM ADAT PERKAHWINAN MELAYU

Main Article Content

Norhuda Salleh
Keum Hyunn Rou Kim

Abstract

Ramuan makan sirih biasanya diletakkan dalam kotak khas atau bekas yang dikhaskan untuk makan sirih. Tepak sirih mencerminkan kehidupan dan nilai-nilai, terutama dalam adat tradisi dan tingkah laku masyarakat Melayu. Di sini menunjukkan bahawa tepak sirih memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan sehari-hari masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun perubahan masa menyaksikan kepentingan tepak sirih kini hanya digunakan dalam majlis tertentu, upacara dan acara tradisional. Hanya tepak sirih bertekat digunakan dalam upacara seperti adat merisik, adat meminang dan adat bertunang. Kajian ini mengenal pasti dan menganalisis peranan tepak sirih dalam komunikasi bukan lisan dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu. Kajian telah dijalankan di Kampung Seri Kedah, Sungai Leman, Sekinchan, Selangor. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tepak sirih yang digunakan dalam perkahwinan Melayu dilihat sebagai simbol memulakan perbualan, simbol pertanyaan, simbol penerimaan, simbol penolakan dan simbol penyatuan. Tepak sirih diletakkan di hadapan barangan hantaran perkahwinan. Dalam perkahwinan Melayu, hanya tepak sirih yang diperbuat daripada kayu, dibaluti dengan kain baldu dan bertekat benang emas digunakan. Tepak sirih mengandungi bekas kecil yang berbentuk separuh bulat dikenali sebagai cembul yang diisi di dalamnya hirisan pinang masak, kapur, gambir dan bunga cengkih. Semua cembul perlu disusun pada kedudukan yang telah ditetapkan oleh adat Melayu. Hal ini demikian kerana masyarakat Melayu percaya bahawa sesuatu yang tidak baik akan berlaku sekiranya adat ini tidak diikuti. Selain itu susunan tepak sirih di dalam tepak melambangkan simbol mendidik masyarakat tentang kepentingan mematuhi peraturan. Semasa adat bertunang, tepak sirih dilihat sebagai simbol penerimaan untuk meletakkan asas-asas untuk memulakan perkahwinan yang bahagia dan hidup bahagia bersama-sama. Pertunangan merupakan perjanjian rasmi antara lelaki dan wanita sebagai permulaan hubungan antara mereka sebelum perancangan perkahwinan yang sebenar. Majlis pertunangan Melayu melibatkan penggunaan semua peralatan adat dan merupakan simbol penghormatan warisan adat yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Kata kunci: tepak sirih, adat, komunikasi bukan lisan.

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

How to Cite
Salleh, N., & Rou Kim, K. H. (2020). TEPAK SIRIH: INTERPRETASI DAN PERSEPSI DALAM ADAT PERKAHWINAN MELAYU. Jurnal Pengajian Melayu (JOMAS), 27(1), 200–220. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/JPM/article/view/25654
Section
Articles