SHEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI, KETOKOHAN DAN SUMBANGANNYA

Main Article Content

Maimunah Zarkasyi

Abstract

Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang hidup tahun (1122-1227
H/1710-1812 M) adalah seorang tokoh ulama fiqh mazhab Shafi’i di
Asia. Beliau turut dikenali sebagai ahli dalam bidang tauhid dan
tasawuf. Ketokohannya diakui dan dicatatkan dalam jaringan ulama
dari Timur Tengah dan Asia yang sangat berjasa dalam proses
Islamisasi di Pulau Kalimantan Selatan. Selama tiga puluh tahun,
beliau belajar pelbagai ilmu di Haramayn dengan prestasi cemerlang.
Dalam bidang fiqh Shafi’iyah beliau diangkat sebagai ‘Syeikh al-Islam’
di Masjid al-Haram, yang membolehkan beliau mengajar ilmu agama
terutama dalam bidang fiqh Shafi’iyah. Di Madinah beliau mendapat
ijazah (sijil) dan bergelar ‘Khalifah’yang melayakkan beliau mengajar
ilmu tarikat dan ilmu tasawuf.
Ulama yang menguasai berbagai-bagai bidang ilmu ini telah
mencurahkan pelbagai sumbangan kepada masyarakat. Semenjak
tahun 1772 M di Kalimantan Selatan beliau telah berdakwah bi al-Hal
dengan menubuhkan institusi pendidikan bagi melahirkan kader ulama.
Kemudian beliau menjadi penasihat Kerajaan Banjar dalam bidang
keagamaan, sehingga dapat menubuhkan Mahkamah Syar’iyah, suatu
jawatan keagamaan yang pertama kali diwujudkan dalam Kerajaan
Banjar. Dalam bidang keagamaan beliau berjuang merubah kebodohan
masyarakat Islam menjadi Muslim yang taat. Beliau menyelamatkan akidah masyarakat Islam daripada kepercayaan dan aliran yang
menyimpang, seperti kehidupan keagamaan yang dipengaruhi oleh
ajaran tasawuf berfahaman Wahdah al-Wujud yang menyeleweng.
Dakwah dalam bi al-Kitab beliau menghasilkan karya-karya sehingga
mencecah tiga puluh lima buah karya dalam pelbagai bidang keilmuan.
Perjuangan al-Banjari diteruskan oleh pewaris keturunannya
yang tersebar di negara Melayu atau negara Asia Tenggara. Ulama
besar yang telah mencurahkan pelbagai sumbangan kepada masyarakat
ini telah mendapat penghargaan daripada para tokoh ulama dan
ilmuwan. Peranan Muhammad Arsyad al-Banjari telah disejajarkan
sebagai tokoh ulama di dunia Melayu dan beliau sepatutnya digelar
sebagai tokoh Mujaddid di tanah air. Peranannya dalam menubuhkan
Mahkamah Syar’iyah dalam kerajaan Banjar telah berjaya memurnikan
masalah aqidah dalam masyarakatnya, yang sewajarnya melayakkan
beliau menyandang gelaran Mujtahid.



Kata kunci: al-Banjari, Sabil al-Muhtadin, Shafi'iyyah, Wahdah al-
Wujud dan Kerajaan Banjar

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

How to Cite
Zarkasyi, M. (2020). SHEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI, KETOKOHAN DAN SUMBANGANNYA. Jurnal Pengajian Melayu (JOMAS), 23(1), 185–218. Retrieved from https://ejournal.um.edu.my/index.php/JPM/article/view/25683
Section
Articles