Main Article Content

Abstract

Al-Qur'an dan al-Sunnah telah memaparkan pelbagai uslub dakwah Nabi s.a.w. sebagai model dakwah yang sempurna. Nabi s.a.w. merupakan model pendakwah yang paling ideal kerana mendapat didikan secara langsung daripada Allah s.w.t. Berasaskan wahyu daripada Allah, Nabi s.a.w menegakkan dakwah kepada seluruh manusia merentasi sempadan seluruh alam tanpa membezakan bangsa Arab mahupun bukan Arab, melampaui sempadan negara baik Timur ataupun Barat, melangkaui warna kulit manusia serta merangkumi seruan terhadap kaum lelaki dan wanita. Namun demikian, seruan dakwah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. disalahfahami oleh musuh Islam dengan dakwaan Islam adalah agama yang tidak bertoleransi terhadap bukan Islam. Justeru, penulisan ini bertujuan membincangkan dakwah Nabi s.a.w terhadap wanita bukan Islam yang wujud pada zaman Nabi s.a.w dengan memfokuskannya kepada aspek yang berkaitan dengan uslub dakwah Nabi s.a.w terhadap mereka. Penulisan yang berbentuk kualitatif ini menggunakan kaedah pengumpulan data dengan melakukan penelitian terhadap ayat-ayat al-Qur'an dan matan-matan hadith terpilih yang berkaitan dengan uslub dakwah Nabi s.a.w terhadap wanita bukan Islam, di samping menganalisis data-data tersebut berdasarkan kaedah induktif dan deduktif. Hasil kajian menunjukkan bahawa sirah perjuangan dakwah Nabi s.a.w selama 23 tahun telah memaparkan kepelbagaian uslub dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan wanita bukan Islam sama ada dalam fasa dakwah di Mekah mahu pun di Madinah. Penemuan kajian juga turut menunjukkan bahawa Nabi s.a.w telah menjalinkan perhubungan dan bermuamalah dengan wanita bukan Islam dalam pelbagai situasi dan keadaan sama ada ketika ditindas, semasa aman atau pun ketika perang. Kepelbagaian uslub dakwah yang digunakan oleh Nabi s.a.w. adalah penting dan perlu dilaksanakan oleh para pendakwah masa kini sekalipun zaman dan konteksnya sudah berubah.

Keywords

Uslub, Dakwah Nabi s.a.w, Wanita bukan Islam, Muamalah

Article Details

How to Cite
Shamsuddin, R., Abdul Lathiff, M. S., & Ismail, M. T. (2017). USLUB DAKWAH NABI S.A.W TERHADAP WANITA BUKAN ISLAM (The Prophet’s Methodology of Da‘wah to Non-Muslim Women). Journal of Al-Tamaddun, 12(1), 1–13. https://doi.org/10.22452/JAT.vol12no1.1