GERAKAN NASIONALISME MASYARAKAT BAJAU ERA PENJAJAHAN DI BORNEO UTARA, 1881-1945
The Nationalist Movement of the Bajau Community during the Colonial Era in North Borneo, 1881–1945
DOI:
https://doi.org/10.22452/sejarah.vol34no2.2Keywords:
Kata Kunci: Nasionalisme, Masyarakat Bajau, Borneo Utara, BNBCC, Pendudukan JepunAbstract
Pada tahun 1881 Borneo Utara mula dijajah oleh pihak British melalui British North Borneo Chartered Company (BNBCC). Penjajahan ini telah mencetuskan semangat nasionalisme sehingga berlakunya penentangan terbuka dalam kalangan masyarakat Bajau di Borneo Utara. Penentangan masyarakat Bajau terhadap penjajah juga berlaku semasa era penjajahan Jepun pada tahun 1942. Artikel ini membincangkan gerakan nasionalisme masyarakat Bajau semasa era penjajahan di Borneo Utara dari tahun 1881 hingga 1945. Walaupun sejarah nasionalisme di Sabah sering kali dikaitkan dengan tokoh-tokoh seperti Mat Salleh dan Sarif Usman, peranan masyarakat Bajau sebagai pelopor semangat penentangan terhadap kuasa kolonial masih kurang diangkat dalam kajian sejarah arus perdana. Penulisan ini bertujuan untuk menganalisis peranan dan sumbangan masyarakat Bajau dalam menentang penjajahan British melalui pentadbiran British North Borneo Charterd Company (BNBCC) serta pendudukan Jepun. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen-dokumen sejarah, laporan kolonial, serta sumber lisan daripada komuniti tempatan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa masyarakat Bajau di kawasan Teluk Darvel dan pulau-pulau sekitarnya telah menzahirkan semangat nasionalisme lebih awal berbanding kebangkitan Mat Salleh pada tahun 1890-an. Penentangan yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Maharajjah Lambi, Panglima Uddang, dan Panglima Abdullah mencerminkan keupayaan masyarakat Bajau dalam mempertahankan wilayah mereka daripada pencerobohan pihak kolonial. Selain itu, penentangan masyarakat Bajau terhadap pendudukan Jepun pada tahun 1942 juga membuktikan keteguhan semangat patriotisme dalam mempertahankan tanah air daripada kuasa asing. Signifikan kajian ini menekankan bahawa perjuangan masyarakat Bajau perlu diiktiraf sebagai sebahagian penting dalam sejarah nasionalisme di Sabah. Kajian ini mencadangkan agar lebih banyak kajian terperinci dan dokumentasi sejarah lisan dilakukan bagi menyingkap naratif yang tersembunyi mengenai gerakan nasionalisme masyarakat Bajau. Usaha ini penting bagi memperkukuh naratif sejarah tempatan dan menghargai sumbangan masyarakat Bajau dalam membentuk identiti dan kedaulatan Sabah.




