Aplikasi al-Tabayyun dalam Menangani Penularan Maklumat Palsu Berkaitan Produk Halal
Main Article Content
Abstract
Kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah memberi kesan terhadap perubahan gaya hidup manusia. Gabungan antara kecanggihan teknologi gajet dan capaian jalur lebar telah memudahkan urusan interaksi harian manusia sama ada dalam bentuk audio mahupun visual. Implikasinya, tiap maklumat dapat disebarkan dengan pantas lagi tuntas. Kebelakangan ini, fenomena penularan dan perkongsian maklumat makin menjadi tren dalam kalangan pengguna media sosial baharu. Ia melibatkan pelbagai kategori maklumat, antaranya berita jenayah, tragedi, kemalangan, malah ada juga unsur tokok tambah dan pemalsuan. Situasi ini tidak terkecuali tempiasnya kepada industri halal. Dalam kerancakan pertumbuhan ekosistem halal lokal dan global, terdapat juga anasir-anasir negatif yang mengganggu-gugat. Wujud segelintir pengguna media sosial yang menyebarkan maklumat halal palsu terutamanya melibatkan elemen haram dan najis umpama khinzir dan deravatifnya, alcohol dan seumpamanya. Ia bukan sahaja melibatkan serangan terhadap sesuatu produk semata-mata, malah menimbulkan implikasi terhadap para pengguna, pengusaha industri dan pihak autoriti halal. Sehubungan itu kajian ini membincangkan tentang penularan maklumat palsu berkaitan dengan produk halal dalam pasaran, medium penularan serta kesannya terhadap industri halal. Selain itu, kajian ini turut menjelaskan pandangan Islam terhadap penularan maklumat tersebut berdasarkan hujah daripada al-Quran dan al-Sunnah. Untuk mencapai objektif tersebut, pengkaji mengaplikasikan kajian kepustakaan dengan meneliti literatur yang berkaitan sama ada dari laman web, akhbar, serta bahan bercetak seperti buku dan artikel jurnal. Data kualitatif ini dianalisis secara induktif untuk merumuskan dapatan kajian. Hasil kajian mendapati, isu-isu halal yang palsu ini disebarkan tanpa penelitian yang khusus dan menimbulkan kesan negatif kepada pihak-pihak. Justeru kajian juga mencadangkan kriteria penapisan maklumat berteraskan syariat Islam agar isu yang tidak tepat ini dapat ditangani dengan baik dalam masyarakat Islam di Malaysia khususnya dan serantau umumnya di samping pertumbuhan industri halal mampu berkembang dengan pesat.