Kecelaruan di Sebalik Istilah Tasawwuf Falsafi The Confusion Behind the Term Philosophical Tasawwuf
Main Article Content
Abstract
Tasawwuf telah sekian lama menjadi satu bidang ilmu yang menjadi landasan terpenting dalam pembentukan kerohanian masyarakat Islam. Tetapi kebelakangan ini ada kalangan akademia yang telah mewarwarkan istilah tasawwuf falasafi, satu istilah yang asing dalam khazanah persuratan tasawwuf. Istilah ini telah bekembang luas diterima pakai dalam dunia akademia dan telah ikut menjangkiti masyarakat awam. Kajian ini secara khususnya untuk merungkai kekaburan yang berlaku dengan penyebaran istilah tasawwuf falsafi yang nampaknya diterima tanpa usul periksa tentang akibatnya yang jelas mencerobohi ketulinan tradisi ilmu tasawwuf. Ia adalah istilah baru diciptakan oleh sekumpulan akademia dunia Arab pada pertengahan abad ke 20 apabila menggunakan kacamata falsafah semasa merujuk kepada persoalan pengalaman kerohanian seumpama wihdat al-wujud dan lain-lain masalah tasawwuf yang rumit. Ia adalah satu istilah asing dalam kitab-kitab induk tasawwuf sejak dari zaman permulaan. Justeru itu langkah penjenamaan yang mengelirukan ini amat perlu dihentikan. Untuk membuktikan kekeliruan ini, kajian perpustakaan dengan tumpuan kepada aspek pensejarahan dan aspek penggunaan istilah dengan menggali kebanyakan kitab-kitab induk ilmu tasawwuf yang lahir dari abad ke abad. Kitab-kitab tradisi ini kaya dengan istilah-istilah yang jelas mencerminkan kekayaan khazanah tradisi ilmu tasawwuf. Tiada istilah tasawwuf falsafi digunakan sama sekali apabila merujuk kepada persoalan wihdat al-wujud dan lain-lain masalah tasawwuf tinggi. Sebaliknya sudah ada istilah-istilah digunakan yang berbeza sebutannya seperti tasawwuf zauqi, tasawwuf al-khawas, tasawwuf ahl-alwajd, tasawwuf muntahi, ahl al-haqaiq, arbab al-qulub, tasawwuf mukasyafah dan ashab al-tajalli. Tetapi kesemuanya membawa kepada maksud yang sama yang jelas mencerminkan keunikan tradisi dan identiti sebenar ilmu tasawwuf.