Fanatik Mazhab di Malaysia: Punca, Implikasi dan Langkah Mengharmoni Menurut Pandangan Ilmuan Islam
Main Article Content
Abstract
Pengamalan agama secara fanatik kepada mazhab atau pendapat tertentu sama ada dalam masalah akidah, syariah dan tasawuf benar-benar berlaku dalam dunia Islam termasuk Malaysia. Ini dibuktikan dengan wujudnya perselisihan yang agak ketara antara mazhab al-Ashʻarī dengan al-Salafī dalam masalah akidah, golongan yang berpegang dengan fiqah empat mazhab dengan kelompok yang tidak bermazhab dalam syariah serta golongan yang menerima dan mengamalkan tasawuf dengan kumpulan yang menolak tasawuf. Kefanatikan tersebut secara tidak langsung menyumbang kepada kecelaruan, khilaf dan hilangnya kesatuan dalam kalangan umat Islam dan berpotensi untuk dimanipulasi oleh musuh-musuh Islam selain kesan-kesan yang sangat negatif kepada keharmonian hidup beragama. Bertolak daripada kesan tersebut, satu kajian dijalankan untuk mencari jawapan persoalan fanatik mazhab dari sudut mafhumnya, punca-puncanya serta implikasinya di negara ini dan yang paling penting mencari jalan mengharmonikan konflik yang serius ini. Isu ini penting untuk dikaji kerana mafhum dan punca-punca konflik ini perlu dikenalpasti supaya tindakan yang berpatutan dan bijaksana dapat digerakkan untuk meluruskannya serta menangani punca-puncanya agar implikasi buruk hasil konflik tersebut dapat dikurangkan atau dihindarkan. Kajian ini juga penting kerana kebiasaan kajian bertemakan fanatik mazhab sebelum ini banyak membincangkan fanatik mazhab dalam fiqh Islam sahaja dan tidak menyentuh fanatik dalam akidah dan tasawuf sebagaimana cuba diterokai dalam kajian ini. Kajian awal mendapati konflik dalam bidang akidah dan tasawuf lebih sengit berbanding syariah yang kebanyakannya melibatkan perbahasan khilafiyyah. Kajian ini adalah gabungan daripada kajian perpustakaan (library research) dan lapangan (field research). Dalam usaha untuk menghasilkan kajian yang bermutu dengan berasaskan fakta-fakta yang tepat, kajian ini menggunakan metode pengumpulan data dan metode analisis data bagi mendapatkan maklumat. Metode Temubual adalah rujukan utama kepada kajian ini di mana data-data premier yang penting dikumpulkan daripada responden yang terpilih. Data-data terkumpul kemudiannya dianalisis melalui metode induktif, deduktif dan komparatif. Hasil kajian mendapati, konflik fanatik mazhab dalam akidah, syariah dan tasawuf adalah suatu realiti di negara ini antara dua kumpulan tersebut yang memungkinkan suasana beragama sentiasa keruh kalau tiada langkah hikmah diambil oleh semua pihak yang terlibat.