Ketokohan Sheikh Mustafa Ismail dan Sumbangannya dalam Dunia Tilawah Al-Quran Secara Bertarannum Kajian terhadap Uslub Al-Qiraah
Main Article Content
Abstract
Penulisan ini mengetengahkan ketokohan dan sumbangan Sheikh Mustafa Ismail dalam dunia tilawah al-Quran secara bertarannum serta uslub al-Qiraah beliau bermula tahun 1934 hingga 1978. Setelah meninggal dunia, terdapat banyak rakaman bacaan beliau yang direkodkan sama ada dalam bentuk bacaan tarannum mahupun murattal oleh individu-individu, syarikat-syarikat rakaman seperti Sawt al-Qahirah dan siaran radio Idhaat al-Quran di Mesir. Menurut sumber, keseluruhan rekod rakaman beliau dalam bentuk bacaan bertarannum dan murattal adalah sebanyak 52,624 jam namun yang ada pada hari ini hanya 300 jam sahaja manakala bakinya didapati telah hilang. Khazanah turath yang ditinggalkan ini memberikan impak yang sangat besar terhadap pembelajaran ilmu Tarannum di mana pencinta ilmu tersebut menjadikannya sebagai rujukan dan panduan terutama dalam kaedah-kaedah lagu dan teknik-teknik suara. Kajian ini adalah kajian perpustakaan di mana data-data dari sumber primer dan sekunder dikumpulkan untuk dianalisis. Hasil kajian mendapati Sheikh Mustafa Ismail merupakan seorang tokoh qari al-Quran yang terkenal dan berpengaruh dalam dunia tilawah al-Quran di mana beliau telah memberikan sumbangan yang besar dalam ilmu tersebut khususnya dalam kaedah-kaedah lagu dan teknik-teknik suara. Alunan dan gubahan beliau yang merdu dan mengasyikkan berjaya mendekatkan manusia kepada al-Quran sehingga bacaannya ditaklid oleh kebanyakan qari-qari al-Quran seluruh dunia.